Saturday, 30 November 2013

Manisnya Kejayaan........

          Alhamdulillah, akhirnya segala usaha membuahkan kejayaan. Meskipun mungkin tak sehebat mana namun cukup untuk berpuas hati dan berlapang dada atas keputusan yang diperolehi. Tahniah kepada murid-murid cikgu yang tidak pernah mengenal erti berputus asa. Akhirnya segala persoalan terjawab juga. Semoga kamu semua belajar untuk menerima kenyataan. Apa yang kamu perolehi, itulah hasil dari apa yang kamu usahakan.....
        Sudah pastinya kamu akan membawa haluan masing-masing selepas ini. Belajar untuk hidup berdikari. Bukan sedikit onak ranjau kehidupan yang perlu kamu tempuhi. Doa cikgu agar kamu terus diberi kekuatan iman dan kesungguhan untuk melakar kejayaan demi kejayaan. Sekalung tahniah kepada murid-murid cikgu yang beroleh keputusan cemerlang. Semoga kamu semua tidak mudah lupa diri. Adakalanya kejayaan pada hari ini bukanlah kayu pengukur untuk membuktikan kita akan terus hebat pada masa akan datang jadi usahlah cepat mendabik dada dengan apa yang kamu perolehi sekarang. Bagi yang kurang cemerlang, kamu tidak perlu terus bersedih dan berasa kecewa,jadikan segalanya sebagai titik permulaan untuk kamu berubah. Belajar dari kegagalan sebenarnya adalah suatu perkara yang lebih besar maknanya. Tidak mustahil suatu hari nanti kamu juga mampu menjadi insan yang lebih hebat. Yakinlah bahawa kejayaan itu tak pernah berakhir dan kegagalan juga tak pernah termusnah..........
       Semoga murid-murid cikgu akan terus menjadi insan-insan yang cemerlang. Selamat meneruskan perjuangan. Terima kasih atas segala suka duka, tangis ketawa dan segala kenangan yang kita kongsi bersama. Cikgu berbangga dengan kamu.......... 
          

Saturday, 2 November 2013

Doa buat sahabat...

            Perjalanan hidup ini ibarat ombak yang sentiasa menemani pantai. Adakalanya ombak itu menyapa dalam kelembutan dan adakalanya ia menghempas ganas.Semoga kita terus menjadi insan yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan dugaan yang didatangkan......
             Sememangnya berat bahu yang memikul tidak akan pernah sama dengan berat mata yang memandang.Namun semoga doa dan semangat yang dititipkan mampu membuatkan diri untuk terus mencipta kekuatan demi kekuatan.......
             Betapa bersyukurnya kerana masih ramai insan yang tahu menghargai nilai sebuah persahabatan. Bukan sekadar untuk menjadi teman di kala suka dan ketawa tetapi teman di kala menangis lebih besar maknanya......Semoga Allah sentiasa membantu dan mempermudahkan setiap urusan kita.